Gelagat Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan semasa sidang media selepas pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) mengharapkan Barisan Nasional meletakkan calon UMNO untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai pada 16 November ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir berkata, langkah itu adalah bagi memastikan PH boleh menang dalam PRK tersebut.

“Di Tanjung Piai, kita dapati banyak masalah di situ. Kita bergantung kepada parti lawan untuk menang. Kita minta mereka letak calon UMNO, tolonglah,” katanya menyindir.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana petang ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya sebab mengapa PH mengharapkan BN untuk berbuat demikian, Mahathir yang juga Pengerusi PH enggan memberitahu sebaliknya, hanya menyatakan ada faktor-faktor tertentu yang tidak boleh didedahkan kepada media.

Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata, mesyuarat yang diadakan hari ini turut membincangkan mengenai Belanjawan 2020 yang akan dibentang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng Jumaat ini.

Ujarnya, terdapat banyak perbezaan dalam kalangan pimpinan Majlis Presiden mengenai belanjawan tersebut dan mengharapkan agar Guan Eng dapat mengambil kira pandangan tersebut ketika membuat pengumuman dalam ucapannya nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast