Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

PUCHONG – Kerajaan telah bersetuju menubuhkan Tabung Bantuan Bencana bagi menggalakkan orang ramai terlibat dalam pengurusan bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pada masa ini, sumbangan bantuan bencana dikendalikan oleh pelbagai pihak dan tiada penyelarasan dibuat.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), secara umum pengurusan bencana sebelum ini bersumberkan peruntukan melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

“Oleh itu, pada hari ini, saya ingin menyebarluaskan kewujudan tabung ini bagi menggalakkan sumbangan pihak swasta, badan sukarela serta orang perseorangan atas prinsip pengurusan bencana negara adalah tanggungjawab bersama.

“Tabung Bantuan Bencana ini akan dapat membantu kerajaan menyelaras bantuan yang disumbangkan secara telus oleh pelbagai pihak termasuk orang perseorangan.

“Sumbangan ini akan dimasukkan ke dalam akaun KWABBN dan penggunaan sumbangan daripada kempen ini akan digunakan selaras dengan tujuan yang dinyatakan oleh Surat Ikatan Amanah KWABBN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Abd. Rahman.

Mengulas lanjut, Wan Azizah turut mengumumkan initiatif Clothing Bank for Disaster Relief (CB4DR) yang dinaungi oleh KASIH Malaysia dengan kerjasama PUSPANITA Kebangsaan.

“Selain daripada sumbangan kewangan, semasa lawatan KASIH Malaysia yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad ke NADMA telah dicadangkan supaya dibuat kutipan pakaian terpakai untuk membantu mangsa-mangsa bencana di pusat-pusat pemindahan.

“Inisiatif ini dimulai dengan penjawat awam dan akan diperluaskan kepada orang awam di masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Azizah turut memberitahu, aplikasi sains dan teknologi merupakan salah satu daripada keperluan dalam pengurusan bencana.

Jelas beliau, menyedari kepentingan itu, NADMA telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan sains dan teknologi dengan melantik pakar-pakar dalam bidang ini daripada pihak swata dan awam untuk menjadi penasihat kepada agensi itu.

“Diharapkan penubuhan Science and Technology Expert Panel (STEP) ini dapat membantu Kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukti (evidence based).

“Program yang berterusan dengan perancangan yang rapi dan kerjasama yang akrab di antara semua pihak sudah tentu akan dapat meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan dan memberikan kesan yang sempurna,” katanya.

“Sehubungan itu, semua pihak perlu memberikan komitmen yang tinggi selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pengurangan risiko bencana agenda penting negara,” katanya. – MalaysiaGazette