Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi masih lagi tertanya-tanya mengapa beliau disingkirkan dari jawatan Ketua Eksekutif Lembaga Pelaburan Terangganu (TIA).

Penyingkiran Shahrol dilakukan oleh Terengganu Menteri Besar Incorporated (MBI) pada tahun 2009.

TIA kemudian ditukar namanya kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas pengambilalihan oleh Minister of Finance Inc.

Saksi kesembilan itu berkata demikian ketika prosiding kes penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawat jawatan Perdana Menteri selain 21 pertuduhan lain termasuk penggubahan wang serta salah guna kuasa bagi dana 1MDB.

“Sehingga kini saya memang tidak tahu dan tidak diberitahu mengapa saya telah disingkirkan.

“MBI tidak bersetuju dengan penerbitan bon TIA dan telah menyenaraikan beberapa sebab dan juga penyingkiran saya sebagai Ketua Eksekutif TIA pada masa itu tetapi saya tidak tahu sebab ketika itu dan sekarang,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Shahrol berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengemukan resolusi pemegang saham MBI Terengganu bertarikh 27 Mei 2009.

Terdahulu, Shahrol juga mengakui tidak mempunyai sebarang bukti bagi menyokong kenyataan bahawa Najib mengetahui tentang muslihat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam projek pembangunan Pulau Bidong di Terengganu

Jho Low. foto SCMP

Shafee: Saya mahu tanya anda soalan ‘cepumas’. Anda telah buat pengakuan bahawa diri anda sebenarnya tidak langsung tahu tentang keuntungan yang telah dibuat oleh Jho Low depan mata kamu.

Saya mahu tanya, adakah anda mempunyai apa-apa bukti yang menunjukan Perdana Menteri terlibat sekali?

Shahrol: Saya tidak ada apa-apa bukti.

Shafee: Jadi tidak ada apa-apa bukti. Adakah anda mempunyai apa-apa idea Jho Low ada membuat sebarang keuntungan secara diam-diam belakang kamu?

Shahrol: Tidak ada idea.

Shafee: Dengan jawapan-jawapan kamu ini, adakah anda boleh kata bahawa Perdana Menteri terlibat?

Shahrol: Saya tidak boleh buat sebarang spekulasi

Shafee: Saya cadangkan kepada anda bahawa Jho Low bekerja sendirian kerana dia menipu semua orang termasuk diri kamu sendiri.

Shahrol: Saya tidak ada apa-apa maklumat.

Perbicaraan ditangguhkan dan akan bersambung esok pagi. –MalaysiaGazette