Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR – Selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata senarai kabinet perlu ada penglibatan masyarakat majmuk dipersetujui oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata, kerajaan yang hendak dibentuk harus mempunyai ahli daripada pelbagai bangsa kerana ia mencerminkan kepelbagaian bangsa dan budaya di negara ini.

“Respon saya ialah sebarang kerajaan mesti mewakili masyarakat majmuk dan majoriti dominasi adalah Melayu Islam,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Abdul Hadi menjawab pertanyaan media mengenai pelawaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Mahathir untuk menubuhkan kerajaan bersama UMNO dan Pas dengan mengambil kira perkembangan terbaru beliau mengenai Kongres Maruah Melayu minggu lalu.

Mahathir semalam berkata, cadangan untuk menubuhkan kerajaan baharu berteraskan kepada agama dan Islam tidak sesuai kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama dan semua pihak harus terima hakikat itu.

Mohamad dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, Kongres Maruah Melayu minggu lalu mengesahkan segala dakwaan UMNO dan Pas bahawa kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kepentingan masyarakat Melayu serta Pribumi lain sedang terhakis di bawah pentadbiran PH.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu turut berkata kerajaan baru itu boleh ditubuhkan dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pas serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak. -MalaysiaGazette