Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman menunjukkan aksinya menendang bola sebagai gimik merasmikan Jom La Futsal TNB 2019 sambil diperhatikan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek merangkap Yang DiPertua Kelab Kilat Kuala Lumpur sempena Bulan Sukan Negara di Padang Kilat Kompleks Sukan TNB, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Lebih 1,400 pemain memeriahkan Jom La Futsal anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Kelab Kilat Kuala Lumpur di Gelanggang Futsal dan Padang Kilat, Kompleks Sukan TNB di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman (tengah) diiringi Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB merangkap Yang DiPertua Kelab Kilat Kuala Lumpur, Datuk Omar Sidek bergambar kenangan dengan sebahagian pemain-pemain yang menyertai Jom La Futsal TNB 2019 pada Sabtu lalu sempena Bulan Sukan Negara di Padang Kilat Kompleks Sukan TNB, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Program dua hari sempena Bulan Sukan Negara itu dirasmikan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman. Hadir sama Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek merangkap Yang DiPertua Kelab Kilat Kuala Lumpur.

Sebanyak 143 pasukan menyertai lima kategori pertandingan iaitu Terbuka Lelaki TNB (100), Wanita TNB (6) , Veteran Lelaki TNB (13), Jemputan Kejiranan sekitar Ibu Pejabat TNB (9) dan 15 pasukan jemputan media.

“Penganjuran program itu selaras dengan hasrat pengurusan TNB yang giat membudayakan program kesihatan, Total Wellness di setiap negeri dengan kerjasama Kelab Kilat Kebangsaan TNB,” kata TNB dalam satu kenyataan hari ini.

Sambutan Bulan Sukan Negara merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan sebagai langkah proaktif ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’.- MalaysiaGazette