Pemandangan sekitar KLIA. .

KUALA LUMPUR – Pasukan penyelenggaraan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam keadaan berjaga-jaga susulan musim monsun yang diramal membawa hujan lebat, angin kencang dan ribut petir sehingga awal bulan depan.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, hujan lebat semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di dalam dan di sekitar KLIA mengalami kerosakan.

Ia termasuk kerosakan bumbung Pusat Pengurusan Lapangan Terbang (AMC), banjir kilat di sekitar jalan perimeter berhampiran Runway 2, pokok-pokok yang jatuh di sepanjang jalan terminal dan kebocoran ke bumbung Flying Emporium, sebuah outlet di Terminal Utama berlepas domestik.

Bagaimanapun, tindakan pantas oleh pasukan operasi dan komuniti lapangan terbang, keadaan di Flying Emporium berada dalam kawalan dalam masa sejam.

MAHB kini sedang membaiki kerosakan dan pasukan penyelenggaraan akan mengukuhkan sistem saliran berikutan jangkaan hujan lebat yang berterusan.

Operator lapangan terbang itu turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan lalu lintas.

Mereka minta mengelak daripada meletak kereta di tepi jalan untuk memastikan keselamatan.

“Kami mempunyai tempat letak kereta yang luas di bangunan terminal serta tempat letak kereta jangka panjang untuk keselesaan anda,” katanya. – MalaysiaGazette