Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk menyertai PKR membuktikan parti itu mempunyai daya penarik kepada sesiapa sahaja.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, permohonan Salleh untuk menyertai PKR masih dalam proses pertimbangan.

“Itu menunjukkan bahawa PKR ada daya penarik dan kita akan pertimbangkan lagi permohonan dia sebab ada sensitiviti.

“Walaupun Perdana Menteri kata tidak ada masalah dengan lompat parti namun ada juga yang merasakan bahawa mungkin kita akan melihat apa di sebalik lompat parti ini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata parti itu masih belum membuat keputusan berhubung permohonan Salleh untuk menyertai parti itu.

Malah Anwar berkata Biro Politik PKR akan mengadakan perbincangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Permohonan Datuk Seri Salleh Said Keruak itu belum dipertimbangkan oleh Biro Politik, tetapi sudah ada kenyataan dari saudara Fahmi Fadzil kita terima permohonan itu daripada beliau, tetapi belum kita bincang dalam mesyuarat pimpinan,” katanya kepada pemberita pada Ahad. -MalaysiaGazette