Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP percaya dua wakil rakyatnya yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) kerana didakwa ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak bersalah.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sepanjang pembabitan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu di dalam DAP, tiada tanda-tanda mereka terlibat dalam sebarang kegiatan yang menyimpang daripada pendirian parti iaitu bersederhana, anti-keganasan dan mendokong kedamaian.

“Penahanan mereka mengejutkan dan saya telah menegaskan kepada pihak berkuasa bahawa parti berdiri teguh di belakang kedua-dua ADUN aitu exco negeri Melaka yang merupakan ADUN Gadek, G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Guan Eng, beliau baru sahaja dimaklumkan bahawa kedua-dua ADUN itu disiasat di bawah SOSMA yang membenarkan penahanan selama 28 hari.

Katanya, pihak polis telah berjanji akan mempercepatkan siasatan bagi membolehkan kertas siastan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara seterusnya kedua-dua ADUN itu dapat dibebaskan segera.

“Polis juga mendakwa mempunyai bukti kukuh untuk membuat penahanan itu dan telah merujuk kepada peringkat tertinggi semua pihak berkuasa yang berkaitan sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.

ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaren dan ADUN Gadek yang juga ahli Exco Negeri Melaka, G. Saminathan

Menurut Guan Eng yang juga Menteri Kewangan,  beliau juga telah diberitahu lebih ramai akan ditahan kerana didakwa ada rangkaian dengan LTTE, bagaimanapun tiada dalam kalangan pemimpin DAP yang menjadi sasaran.

Beliau berkata, DAP akan menyediakan pasukan peguam diketuai leh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal dan wakil rakyat Jelutong, RSN Rayer untuk mewakili kedua-dua pemimpin parti itu.

LTTE: Polis tahan 2 wakil rakyat DAP

“Polis juga telah berjanji untuk membenarkan pasukan peguam dan keluarga bertemu kedua-dua ADUN itu yang turut mendapat pujian oleh polis kerana memberi kerjasama sepenuhnya semasa ditahan,” katanya.

Guan Eng berkata, beliau juga telah meminta Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M.Kulasegaran untuk berurusan dengan pihak berkuasa yang berkaitan, kedua-dua wakil rakyat itu dan keluarga mereka.

DAP, katanya, berharap, kedua-dua wakil rakyat itu dapat menerima kesukaran yang menimpa mereka sekarang ini sebagai satu cabaran dan kebenaran akan akan dapat ditegakkan serta mereka akan dibebaskan.

LTTE: DAP terkejut dengan tangkapan dua Exconya

Dua wakil rakyat DAP itu antara tujuh suspek ditahan hari ini kerana disyaki terlibat aktiviti mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak dan mencari dana untuk kumpulan pengganas LTTE.

Kedua-duannya  ditahan dalam operasi serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kedah antara pukul 9 pagi hingga 2 petang

Artikel berkaitan: