Petugas Utusan Malaysia membawa keluar barangan dari pejabat berikutan notis arahan penutupan bangunan Pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- Sebahagian kakitangan Utusan Melayu (M) Bhd. akan diserap oleh syarikat baharu, kata Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sepengetahuan saya, sebahagian daripada kakitangan Utusan akan diserap ke syarikat baharu,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Greentech dan Produk Eko Antarabangsa 2019 di sini hari ini.

Semalam, Lembaga Pengarah Utusan membuat keputusan menutup operasi syarikat yang melibatkan penerbitan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad menerusi satu memorandum pekeliling yang diedarkan kepada kakitangannya.

Tindakan tersebut menyebabkan seramai 862 kakitangan syarikat tersebut berada dalam keadaan terumbang ambing berikutan penutupan syarikat yang sudah berusia 80 tahun itu.

Ia susulan pembelian 70 peratus kepentingan dalam syarikat pemegang lesen percetakan kumpulan Utusan, Dilof Sdn. Bhd. oleh Aurora Mulia Sdn. Bhd. beberapa hari lalu.

Urusniaga itu berlaku beberapa minggu selepas Aurora Mulia yang dikaitkan dengan Tan Sri Syed Mokhtat Albukhary itu menokok pegangannya dalam Media Prima Bhd. sekali gus menjadikannya pemegang saham utama dalam syarikat konglomerat media tersebut.-Malaysiagazette

Artikel berkaitan

Utusan Melayu tutup operasi mulai hari ini