Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) melawat pameran pada Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eco Antarabangsa (IGEM) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- “Jika kertas cadangan yang dikemukakan bagus, kerajaan akan sokong. Tidak semestinya mereka adalah menantu saya atau kaum kerabat saya.

“Saya hanya pilih yang berkelayakan,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan terdapat projek-projek berkaitan tenaga diperbaharui diberikan kepada keluarganya semasa menjadi Perdana Menteri keempat dahulu.

Mahathir secara tegas menafikan dakwaan tersebut dan berkata, kerajaan perlu memberikan kontrak untuk menjalankan projek kepada mana-mana syarikat yang layak bagi memastikan perkembangan pertumbuhan Malaysia tidak terbantut.

“Saya pernah tanya kepada saudara-mara saya, apakah mereka pernah menerima apa-apa (projek)? Malah ada yang tidak mahu bercakap dengan saya (sekarang).

“Kita perlu beri projek itu kepada seseorang tetapi biasalah bila kita bagi, orang akan cakap macam-macam tetapi jika tidak beri, bagaimana kita hendak melihat progres (industri tersebut), katanya semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Greentech dan Produk Eko Antarabangsa 2019 di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memberitahu, kerajaan ketika ini melaksanakan bidaan terbuka dalam projek panel solar dan Feed in Tariff (FIT).

“Kerajaan melaksanakan bidaan kompetitif untuk panel solar. FIT pun kita buat bidaan kompetitif atas talian.

“Kita beri peluang kepada semua pihak yang inovatif dan kompetitif. Ianya terbuka untuk semua,” katanya di sidang media yang sama.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, Malaysia akan mengambil bahagian sepenuhnya dalam mengurangkan penyebab perubahan iklim pada tahun depan.

Ini hasil penubuhan Majlis Tindakan Kebangsaan Berhubung Perubahan Iklim pada hujung tahun ini, katanya. – MalaysiaGazette