Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Pemberian bantuan subsidi petrol bersasar yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diperluaskan kepada golongan M40.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sejak pengumuman program subsidi petrol bersasar pada 7 Oktober lalu, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada orang ramai.

“Antara gesaan dan maklumbalas paling popular yang diterima ialah supaya memasukkan golongan M40 dalam subsidi petrol bersasar itu.

“Dengan pengumuman Belanjawan 2020 hari ini, selain golongan pendapatan Bantuan Sara Hidup (BSH), kerajaan turut memasukkan penerima baharu iaitu rakyat yang berpendapatan di dalam kategori M40 iaitu memiliki kenderaan tidak melebihi sebuah kereta dan sebuah motosikal,” katanyabagi mengulas pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, kata Saifuddin, kenderaa yang dimiliki M40 harus menepati kriteria kenderaan, iaitu kereta 1600cc dan ke bawah atau kereta melebihi 1600cc yang berumur 10 tahun ke atas.

Manakala bagi motosikal pula dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah atau motosikal melebihi 150cc yang berusia 7 tanhun ke atas.

“Saya ingin tekankan bahawa bagi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), kriteria kelayakan penerima masih kekal sepertimana diumumkan sebelum ini.

“Penerima BSH memiliki maksimum dua kereta dan dua motosikal yang menepati kriteria kenderaan yang ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pelaksanaan Program Subsidi Petrol berjalan lancar dan menepati objektif yang ditetapkan kerajaan,” katanya.-MalaysiaGazette