Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada media selepas Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2020 bukan sahaja tiada pembaharuan bahkan menyebabkan golongan berpendapatan sederhana atau M40 kehilangan banyak subsidi khususnya petrol RON95.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Program Subsidi Petrol (PSP) yang diperuntukan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) hanya mengundang kenaikan harga barangan susulan kos peningkatan kos pengangkutan.

“Bila petrol RON95 diapungkan, kemungkinan besar memberi kesan besar kepada harga barangan rakyat.

“Golongan M40 langsung tak mendapat subsidi itu, saya setuju jika golongan T20 tidak diberi subsidi.

“Tapi ada berjuta rakyat M40 yang akan tak dapat subsidi itu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 lebih dua jam di Dewan Rakyat, hari ini.

Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’.

Ahmad juga tidak meyakini cadangan kerajaan dalam Belanjawan 2020 apabila tidak menyambung konsesi tol sehingga 2038, sekaligus membayangkan rakyat masih perlu membayar tol dalam tempoh 19 tahun akan datang.

“Walaupun ada diskaun 18 peratus tapi diskaun itu hilang kerana M40 dan B40 tidak dapat subsidi secukupnya untuk petrol.

“Jadi ini adalah permainan angka. Saya tak nampak perkara yang besar sangat,” katanya.

Katanya lagi, langkah kerajaan membuka peluang kepada warga asing untuk memiliki rumah bernilai RM1 juta hanya memberi risiko tinggi kepada negara susulan nilai hartanah itu telah diturunkan.

“Sekarang ini diturunkan kepada RM600,000 dengan kata lain banyak harta dalam negara kita ini akan dimiliki oleh orang asing, itu adalah suatu yang tidak baik kepada negara kita,” katanya.

Beliau turut merasakan langkah kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan dengan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing bukan perkara besar.

“Kalau rakyat diberi kerja untuk ganti buruh asing, itu adalah kerja 3D (Dirty, Difficult & Dangerous).

“Mereka suruh rakyat kita mengganti pekerja asing, saya tak nampak ia satu perkara besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette