Foto Instagram Fikry Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pelakon Fikry Ibrahim akhirnya berjaya menghabiskan pengajiannya sekali gus menggenggam segulung ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-91 yang berlangsung kelmarin.

Fikry atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 25, telah menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media yang disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

Berita gembira itu dimaklumkan Fikry menerusi kemas kini terbaru di akaun Instagram miliknya semalam.

“Never stop learning because life never stops teaching.” Terima kasih kepada keluarga, guru-guru, kawan dan semua yang mendoakan dan support saya. Tahniah buat graduan yang lain!” tulisnya.

Fikry memulakan kerjayanya dalam bidang seni selepas mendapat tempat ketiga dalam program Lawak Solo 2016.

Selain pelawak, Fikry juga merupakan seorang pelakon dan pengacara. Fikry mula dikenali selepas membintangi drama popular Hero Seorang Cinderella, Cekelat Semanis Honey dan Cik Reen & Encik Ngok Ngek. – MalaysiaGazette