Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengguna di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) akan menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata.

Di bawah Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan diskaun tersebut memberikan penjimatan sehingga RM1.13 bilion pada tahun 2020 dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038 kepada semua pengguna lebuh raya.

Katanya, Kabinet sedang menimbangkan kesemua cadangan termasuk daripada Khazanah Nasional Bhd. untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS.

“Cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan Kabinet telah meluluskan pengambilalihan empat lebuh raya Lembah Klang iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (SPRINT) dan Terowong SMART (SMART).

Tambahnya, pengenalan caj kesesakan di mana caj kesesakan pada waktu sekitar puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak akan menjimatkan pengguna lebuh raya sehingga RM180 juta setahun, atau RM2 bilion sehingga akhir hayat konsesi.

Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada, katanya.

“Pengambilalihan lebuh raya ini tidak akan membebankan kerajaan kerana kos pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan akan dibiayai sepenuhnya melalui kutipan tol dan caj kesesakan tanpa memerlukan peruntukan daripada kerajaan pada masa hadapan.

Bagi pengguna Jambatan Pertama dan Kedua Pulau Pinang, kerajaan akan menyeragamkan kadar tol kedua-dua jambatan tersebut bermula 1 Januari 2020.

Kadar tol bagi kereta persendirian yang melalui tol Jambatan Kedua akan dikurangkan kepada RM7 berbanding RM8.50 sebelum ini. – MalaysiaGazette