Wiranto diusung oleh pasukan keselamatan selepas ditikam di Banten. foto Agensi

JAKARTA – Menteri Keselamatan Indonesia ditikam oleh seorang lelaki yang dipercayai ‘diinspirasi’ oleh Kumpulan IS.

Wiranto diserang ketika hendak keluar dari kereta di sebuah bandar di Banten.

Bekas pemimpin tentera dan calon presiden itu mengalami dua kecederaan di perut tetapi dalam keadaan stabil.

Seorang anggota polis dan dua orang awam juga cedera dalam serangan tersebut.

Seorang lelaki dan wanita ditahan susulan kejadian itu.

Polis berkata, penyerang telah didedahkan dengan radikalism IS, manakala Agensi Perisikan Negara memberitahu, pihaknya percaya kedua-dua suspek merupakan anggota Jamaah Assharut Daulah (JAD) yang ada kaitan dengan IS.

“Daripada siasatan awal, penyerang didedahkan dengan radikalism dengan mensasarkan birokrat awam dan polis yang dilihat memberi ancaman kepada mereka,” kata Dedi Prasetyo, Ketua Polis Indonesia.

Stanis Riyanta, pakar keganasan yang berpusat di Jakarta, memberi amaran serangan itu dapat membina momentum bagi pihak lain menjelang pentadbiran Presiden Joko Widodo yang memulakan penggal kedua pada minggu depan, selepas dia dipilih semula pada April lalu.

“Ini adalah amaran kepada penguatkuasa undang-undang bahawa pengganas lain boleh melakukan serangan menjelang perasmian 20 Oktober,” katanya. – MalaysiaGazette