Muzammil Ismail

KUALA LUMPUR – Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menahan dua wakil rakyat DAP kerana didakwa terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) merupakan satu tindakan tepat.

Exco Armada Nasional Bersatu, Muzammil Ismail berkata, PDRM selaku pemegang kuasa amanah rakyat telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cekap apabila bertindak terhadap pertubuhan militan yang mengancam keselamatan serta memberi risiko keganasan kepada negara.

“P. Ramasamy jangan cuba cabar kuasa PDRM. Beliau telah cuba melanggar “rules of law” (kedaulatan undang-undang).

“Perjuangan LTTE sama sekali tidak sama seperti pejuang di Palestin. Siasat Ramasamy juga dan tangkap jika bersalah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang menerusi satu kenyataan bersama dilapor berkata, Penahanan dua wakil rakyat DAP dan lima yang lain kerana didakwa ada kaitan dengan LTTE sebagai tidak masuk akal.

Ini kerana katanya, gerakan pemisah Tamil itu telah berkubur ketika perang saudara 2009 di mana kebanyakan pemimpinnya telah dibunuh atau dipenjara.

Dua wakil rakyat DAP iaitu exco negeri Melaka yang merupakan ADUN Gadek, G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaranitu antara tujuh suspek ditahan pada Selasa kerana disyaki terlibat aktiviti mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak dan mencari dana untuk kumpulan pengganas LTTE.

Kedua-duanya ditahan dalam operasi serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kedah antara pukul 9 pagi hingga 2 petang. – MalaysiaGazette

Penahanan 2 wakil rakyat DAP tak masuk akal, PH sepatutnya hapuskan SOSMA