KUALA LUMPUR – Sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar dalam Belanjawan 2020 merangkumi 55.4% daripada perbelanjaan pembangunan, diikuti sektor sosial 26.9%, keselamatan 11.7% dan pentadbiran am 6%.

Tinjauan fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan berkata, sektor ekonomi dijangka menerima peruntukan RM31 bilion berbanding RM28.9 bilion sejajar untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi.

Perbelanjaan di bawah sektor sosial dianggarkan RM15.1 bilion daripada perbelanjaan pembangunan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM7.9 bilion untuk subsektor pendidikan dan latihan termasuk membina semula sekolah daif di seluruh negara dan mengubah suai dan menambah baik infrastruktur sekolah.

Sebanyak RM2.9 bilion akan diperuntukan bagi subsektor kesihatan untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara hospital dan klinik serta perolehan perubatan.

Bagi meningkatkan pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sebanyak RM1.5 bilion diperuntukan khusus bagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat dan kuarters penjawat awam serta pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.

Sektor keselamatan terdiri daripada pertahanan dan keselamatan dalam negeri kekal menjadi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM6.6 bilion.

Daripada jumlah itu, RM3.2 bilion untuk subsektor pertahanan dan bakinya untuk keselamatan dalam negeri.

Manakala sektor pentadbiran am memperoleh RM3.4 bilion pada tahun 2020.

Perbelanjaan sektor ini untuk membangunkan sistem perakaunan, kewangan dan perkhidmatan maklumat, perluasan pusat data sektor awam dan mengubah suai dan menaik taraf bangunan kerajaan. – MalaysiaGazette