Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyambut baik pendekatan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2020 dalam peralihan kepada aktiviti dengan nilai tambah yang lebih tinggi dan meluaskan ekonomi digital bagi memastikan rakyat Malaysia tidak ketinggalan.

Dalam kenyataannya di sini, SC berkata, pelbagai langkah yang diperkenalkan mampu membangunkan ekosistem pembiayaan negara untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada ekonomi yang lebih luas.

Ia termasuk peruntukan bagi meningkatkan pembiayaan berasaskan pasaran inovatif sebagai pilihan pembiayaan yang berdaya maju untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana, usaha komprehensif bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam yang terkemuka dan Skim Persaraan Swasta.

“SC akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan semua pihak yang berkaitan untuk memastikan pasaran modal Malaysia berada pada kedudukan yang baik bagi memudahkan pencapaian hasil khususnya dalam penyediaan pembiayaan dan modal yang cekap yang diperlukan untuk ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette