Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Pelbagai taktik digunakan untuk menjual dadah bagi mengelak kegiatan jenayah itu dihidu penguatkuasa polis asalkan dapat mengaut keuntungan.

Dalam kes terbaharu, taktik pasangan kekasih yang licik menggunakan aplikasi sosial, weChat, untuk mencari pelanggan dan menjual dadah pelbagai jenis secara runcit dengan berjumpa di lokasi tertentu.

Bagaimanapun taktik itu dapat disan polis.

Bertindak atas maklumat, pada Jumaat lalu Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur menerusi operasi menahan pasangan kekasih berusia 29 dan 24 tahun itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Mazlan Lazim berkata, pasangan tersebut ditahan di tempat letak kereta sebuah kondominium mewah di Jalan Sungai Besi dan hasil pemeriksaan, polis tidak menemui sebarang barang mencurigakan daripada mereka.

Bagaimanapun, katanya, hasil soal siasat kedua-dua suspek membawa polis ke sebuah unit di kondominium berkenaan dan menjumpai dadah yang disyaki ekstasi dalam bentuk serbuk, cecair dan pil bersama pil ketamin dan eramin.

“Kita berjaya merampas serbuk ekstasi seberat 3,728 gram, cecair ekstasi berisipadu 3,150 mililiter, 670 biji pil ekstasi, 600 biji pil erimin 5, dan 84 gram ketamin yang keseluruhannya bernilai RM416,950 bersama wang tunai RM3,660.

“Polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga serta dua bentuk cincin keemasan bernilai RM15,860 daripada kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut manakala ujian air kencing ke atas suspek lelaki didapati positif ketamin manakala teman wanitanya negatif dadah,” katanya pada sidang mediaunit  Narkotik dan Komersial di ibu negara.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati pasangan itu menjual dadah dalam bentuk runcit di Jalan Klang Lama antarajaam  8 malam hingga 2 pagi setiap hari.

Menurutnya, pasangan itu tidak menjual dadah di pusat hiburan kerana menyedari kegiatannya mudah dihidu pihak berkuasa.

“Lelaki itu adalah penganggur dan baru kali pertama berkecimpung dalam penjualan dadah bersama kekasihnya yang pernah bekerja sebagai pakar kecantikan.

“Mereka dapat bekalan dadah itu secara percuma daripada seorang lelaki disyaki tokan atau pengedar utama bekalan di Seri Kembangan.

“Kemudian pasangan itu akan menarik pelanggan menerusi WeChat sebelum menjual secara runcit bekalan dengan menemui pelanggan di lokasi terpilih yang sentiasa berubah dan wang hasil keuntungan itu akan digunakan untuk membeli dadah dan terus mengaut keuntungan dan telah beroperasi di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

“Kedua-dua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama 7 hari bermula 12 Oktober hingga 18 Oktober 2019 dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette