Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memotong pulut kuning sempena ulang tahun kelahiran beliau sambil diiringi timbalannya, Senator Liew Chin Tong (dua kiri) pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di Ausitorium Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Kementah) merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila kementerian itu menjadi penerima kelima terbesar dengan jumlah peruntukan RM15.6 bilion dalam pembentangan Belanjawan 2020.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perutukan untuk Kementah kali ini menyaksikan kenaikan sebanyak 12 peratus berjumlah RM1.67 bilion berbanding RM13.9 bilion pada tahun lalu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan PH kerana dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat lepas, Kementah merupakan penerima ke-5 terbesar.

“Belanjawan 2020 membuktikan Kerajaan PH prihatin terhadap semua golongan di Malaysia termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah banyak berjasa kepada negara,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementah di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Kerajaan PH juga mencatatkan sejarah apabila memberikan saguhati sebanyak RM500 secara “one-off” kepada pemegang Pingat Jasa Malaysia (PJM).

“Buat pertama kali dalam sejarah apabila saguhati ini diberikan kepada 70,000 pemegang PJM bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada negara,” katanya.

Selain itu katanya, golongan veteran ATM berpencen dan tidak berpencen juga tidak terkecuali daripada menerima saguhati itu berjumlah RM250.

“Seramai 160,000 golongan itu menerima saguhati ini dengan peruntukan berjumlah RM250 secara “one-off” bagi menghargai sumbangan dan bakti mereka,” katanya.

Selain saguhati, Kerajaan PH tidak lupa menyediakan peruntukan besar kepada Kementah bagi program kesiapsiagaan dan operasi dalam memastikan kedaulatan negara terus dipertahankan.

“Sebanyak RM5.7 bilion diperuntukkan bagi Tentera Darat Malaysia (TDM), RM2 bilion pula untuk Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), RM2.5 bilion bagi Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan RM1.4 bilion untuk Angkatan Bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette