Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Konvensyen Sejarah Negara di Hotel Tenera Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 OKTOBER 2019

BANGI – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan meneruskan usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad membaiki negara selepas mengambilalih jawatan Perdana Menteri.

“Apabila saya ambil alih (jawatan perdana menteri) saya akan teruskan dan perbaiki. Bukannya diberi kuasa merompak kekayaan untuk balas dendam.

“Tiada guna berpuluh tahun mengalami penderitaan jika lakukan perkara itu. Untuk membina negara bangsa tidak boleh tercabut akal budaya sendiri. Bila tercabut jadi angkuh bebal dan kolot,” ujar ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Sejarah Negara 2019 di sini hari ini.

Menurut Anwar, pemimpin harus bekerja untuk memperbaiki negara yang sekarang dikemudi Mahathir yang merupakan individu yang cukup lama dikenalinya.

Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menasihati pemimpin politik diminta supaya tidak memainkan sentimen perkauman untuk meraih sokongan bagi menjadi juara di mata masyarakat sehingga sanggup menggangu keharmonian negara.

Menurutnya, mereka tidak perlu untuk mengungkit perkara-perkara yang berkait dengan sesuatu kaum kerana ia hanya akan menimbulkan ketegangan.

Katanya, perkara itu merupakan prinsip yang telah disepakati dan ia tidak sepatutnya dijadikan isu.

“Itu realiti kerana itu prinsip yang telah disepakati. Memupuk negara bangsa bukan dengan mengutamakan suhu politik bahawa kitalah pejuang Melayu.

“Malangnya, sarjana yang melaungkan perjuangan Melayu adalah penjilat, perasuah,” katanya.

Anwar berkata, membina negara bangsa mestilah dengan dasar etika yang jelas dan ramai orang Melayu menunjukkan kebencian dengan kaum lain tapi zalim dengan kaum sendiri.- MalaysiaGazette