Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak mahu berbalah dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob berhubung istilah sebenar royalti yang harus dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, beliau belum lagi membaca kenyataan Ahmad mengenai isu pemberian wang royalti minyak.

“Saya tak mahu berbalah tentang istilah yang digunakan.

“Apa yang dibayar sebelum ini dan telahpun dibayar dengan lebih cepat dan awal oleh pihak Kerajaan Persekutuan. Apa yang saya nyatakan di Dewan Rakyat memang benar dan diakui oleh MB Kelantan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Ahmad Yakob hari ini berkata, kerajaan negeri Kelantan menafikan menerima pembayaran royalti petroleum daripada Kerajaan Pusat.

Beliau turut menegaskan wang sebanyak RM15.7 juta yang diterima pada 17 September lalu adalah wang ihsan.

Malah katanya, wang ihsan dan pembayaran royalti adalah dua perkara berbeza dan apa yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri adalah pembayaran royalti petroleum.

“Kenyataan itu (dari Menteri Kewangan, Lim Guan Eng) adalah tidak benar dan mengelirukan rakyat. Apa yang dituntut adalah royalti minyak dan gas, manakala apa yang diberi atau disalurkan adalah wang ihsan.

“Cuba rujuk kembali kepada kamus dewan antara makna royalti dan ihsan. Saya nak maklum kepada ahli dewan dan rakyat yang saya hormati.

“Pada 17 September, kita terima sebanyak RM15,749,561.50, iaitu dalam tajuk penyaluran wang ihsan kepada Kelantan bagi tahun 2019,” kata Ahmad.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, adalah lebih baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan satu perbincangan mengenai itu tersebut.

“Saya harap perkara ini marilah kita bincang secara waras, kalau nak berpolemik pun janganlah tanpa asas dan bukti yang kukuh,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Kelantan sudah dibuat bulan lalu.

Katanya, beliau menandatangani pembayaran atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. -MalaysiaGazette