Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Di sebalik desakan penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya kerajaan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pula berpendapat  sebaliknya.

Menurut Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, akta tersebut seharusnya diperbaiki kerana ia boleh disalahgunakan.

“SOSMA tak perlu dimansuhkan pada pandangan saya, ia perlu diperbaiki dari masa ke semasa kerana SOSMA boleh disalahgunakan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Kit Siang menggesa kerajaan Persekutuan memansuhkan SOSMA seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) kerana pernah disalah guna terhadap pihak atau individu yang membongkar kegiatan korupsi.

Ahad lalu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim bersetuju polis menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelan (LTTE).

Namun katanya, penahanan berkenaan tidak seharusnya dibuat di bawah Sosma yang disifatkannya sebagai terlalu keras.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Sosma dalam peringkat perbincangan untuk dikemaskini.

Beliau bagaimanapun tidak menjamin bila akan dibentangkan.

“Buat masa ini Kementerian Dalam Negeri sedang buat kajian,” katanya.

Mohamad juga menyerahkan kepada polis dalam menyiasat kumpulan pengganas LTTE.

“Diharap dijalankan ikut peraturan dan saya yakin polis lebih berhati-hati dalam kes ini,” katanya.

Selain Kit Siang beberapa pemimpin DAP termasuk Timbalan Ketua Menteri II P. Pinang, P. Ramasamy turut menggesa kerajaan supaya menghapuskan SOSMA. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Penahanan 2 wakil rakyat DAP tak masuk akal, PH sepatutnya hapuskan SOSMA