Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 15 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada sebab untuk beliau meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecuali ada pihak yang cemburu mahu menendangnya keluar daripada parti itu.

Lagipun, Timbalan Presiden PKR itu berkata, kedudukannya di dalam PKR ditentukan oleh ahli-ahli parti.

“Saya telah dipilih dan saya dibentuk mandat besar dalam PKR dan bukan saya sahaja, seluruh pasukan PKR kita dapat undi dua pertiga dalam pemilihan parti.

“Jadi tidak ada sebab untuk saya tinggalkan parti, melainkan ada yang cemburu nak tendang saya keluar daripada parti. Itu terpulang kepada mereka,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Syed Husin Ali yang mendakwa beliau akan menubuhkan parti baharu kerana pergeserannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kian meruncing.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, beliau komited kepada PKR dan tetap akan bersama parti, membina dan menyokong kepimpinan dan juga ahli.

Minggu lalu, Syed Husin yang juga Pengasas Bersama PKR dalam kenyataannya mendakwa Azmin merancang menubuhkan parti baru kerana pergeserannya dengan Anwar kian meruncing.

Beliau berkata,  ia adalah salah satu daripada tiga perancangan yang diusahakan Azmin mutakhir ini.

Syed Husin merujuk kepada rentetan peristiwa selepas penyebaran video seks yang mengaitkan Azmin pada pertengahan Jun lalu.

Dalam pada itu, Azmin pula mendedahkan Syed Husin cemburu dengan kejayaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat.

Sedangkan, keberadaan Syed Husin dalam arena politik langsung tidak memberikan apa-apa kesan kepada negara.

“Ini pandangan Syed Husin, dia sudah berpuluh tahun dalam politik, tidak ada kesan pun. Mungkin dia cemburu dengan kejayaan Tun Dr Mahathir yang mendapat sambutan gemuruh daripada rakyat Malaysia.

“Biasalah pandangan dia,” ujarnya. – MalaysiaGazette