Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 15 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Salah seorang daripada 12 suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sudah keluar parti dan tidak lagi terikat dengan pimpinan Pas.

Justeru itu, menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, usaha untuk mengaitkan Pas dengan LTTE adalah jelas berniat jahat.

“Ahli Pas itu sudah keluar surat rasmi, sebelum isu ini timbul. Dia sudah tulis surat rasmi dia bukan ahli parti.

“Usaha kaitkan Pas ini usaha yang jahat. Mereka tidak dapat maklumat dan sepatutnya periksa, maklumat sebelum keluar kenyataan. Pas nafikan dia bukan lagi ahli DHPP,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), N. Balasubramaniam hari ini berkata lelaki berkenaan telah menghantar surat keluar parti pada 21 Mei 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berbohong berhubung isu pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Kelantan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata Pas mempunyai maklumat dan kiraan yang sepatutnya dibayar oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sehingga kini kerajaan Kelantan tidak terima sebarang royalti, yang dibayar dalam bentuk ehsan dan kita anggap wang ehsan tidak betul.

“Kedua tak dibayar kepada kerajaan negeri cuma dibayar kepada agensi, iaitu kepada Majlis Agama Islam Kelantan,” katanya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini juga berkata kerajaan negeri Kelantan menafikan menerima pembayaran royalti petroleum daripada Kerajaan Pusat.

Beliau turut menegaskan wang sebanyak RM15.7 juta yang diterima pada 17 September lalu adalah wang ihsan. -MalaysiaGazette