Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Saksi ke-9 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendakwa usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI) terhasil kerana hubungan akrab yang terjalin antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Raja Arab Saudi.

Dan ketika itu, Raja Arab Saudi adalah Almarhum Abdullah Abdul Aziz Al Saud.

Malah saksi yang juga bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi percaya oleh kerana keakraban yang dimiliki oleh kedua-dua pemimpin utama negara syarikat yang dinamakan PSI-1MDB JV ditubuhkan.

Bagaimanapun, ketika diasak oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tentang perkara itu, Shahrol mendakwa itu merupakan versi cerita’oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low kepadanya.

Shahrol: Ianya lebih kepada ‘kawan tolong kawan’.

Shafee: Siapa yang cakap begitu?

Shahrol: Jho Low beritahu saya, perjanjian berdasarkan kawan tolong kawan.

Shafee: Jadi Jho Low yang cakap begitu dan kamu percaya?

Shahrol: Ya.

Shahrol juga mendakwa, beliau amat percaya dengan cerita Jho Low yang turut memberitahu pembentukan syarikat usaha sama pelaburan strategik itu dibincangkan di antara Najib dan Raja Abdullah ketika bercuti di atas kapal layar.

Saksi juga memberitahu beliau tidak pernah cuba bertanya dengan lebih lanjut sebaliknya amat percaya dengan dakwaan oleh Jho Low itu malah juga tidak pastinya seandainya lelaki itu yang kini dalam buruan itu turut serta dalam perbincangan tersebut.

Dalam pada masa, Shahrol turut memberitahu bagaimana PSI begitu ‘bermurah hati’ dalam memastikan kejayaan usaha sama dengan 1MDB.

Dakwa Shahrol, pada 2009 PSI telah meletakkan aset bernilai AS$2 bilion (RM8.37 bilion) dalam usaha sama.

Namun kata Shahrol ianya hanya perlu diperhitungkan sebagai AS$1.5 bilion (RM6.28 bilion) di mana perbezaan sebanyak AS$500 juta (RM2.09 bilion) akan diperuntukkan untuk meningkatkan pegangan saham oleh 1MDB sebanyak AS$1 bilion (RM4.1 bilion).

Shahrol juga mendakwa sebagai CEO syarikat, beliau amat mempercayai PSI adalah rakan kongsi yang sangat boleh dipercayai.

“Kita ambil ini sebagai mandat dalam melaksanakan perjanjian G2G. Saya fikir PSI adalah rakan kongsi yang boleh dipercayai dan ketika mereka mengatakan mereka mewakili dan menjamin nilai aset tersebut sudah tentu ianua sudah cukup baik untuk kita meneruskan usahasama itu,” ujarnya.

Perbicaraan 1MDB yang melibatkan dakwaan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion di hadapi oleh Najib juga berhadapan dengan 21 pertuduhan lain termasuk penggubahan wang serta salah guna kuasa sudah masuk hari ke-23 hari ini.

Terdahulu sebelum prosiding kes bermula, Shafee turut memaklumkan kepada mahkamah Najib tidak dapat hadir perbicaraan kerana waktu yang di tetapkan kepadanya untuk berbahas Belanjawan 2020 telah diambil oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini sekaligus menyebabkan Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan terpaksa menunggu sehingga jam 3.10 bagi membahaskan hujah beliau di Parlimen.

Perbicaraan bersambung sebentar lagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. –MalaysiaGazette