William Ng

KUALA LUMPUR- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Sementa) meminta kerajaan memberikan lebih banyak masa kepada majikan sebelum dapat melaksanakan cuti bersalin selama 90 hari.

Ia diusulkan dalam pembentangan Belanjawan 2020, Jumaat lalu.

Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan persatuan itu, Datuk William Ng berkata, kerajaan juga diminta supaya memberikan sedikit kelonggaran kepada majikan dalam melaksanakan peraturan terbaharu itu.

Dengan itu, Sementa mencadangkan supaya pelaksanaan cuti bersalin itu dinaikkan secara berperingkat bagi sektor-sektor tertentu seperti peladangan dan pengilangan.

“Sebagai contoh, cuti bersalin dinaikkan kepada 75 hari pada 2021 dan 90 hari bermula 2022 ke atas.

“Tenaga kerja dan perancangan sumber biasanya mengambil masa selama setahun dan kebanyakan PKS tertakluk kepada gerak kerja dan prosedur yang telah ditetapkan oleh principal dan harga yang biasanya telah dikunci untuk beberapa berdasarkan kos ketika rundingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah William, para pekerja juga boleh ditawarkan cuti bersalin yang lebih pendek iaitu 60 hari dan ditukar dengan bayaran.

Ini menurut beliau akan memberikan lebih banyak pilihan kepada ibu bapa sesuai dengan keperluan dan situasi keluarga berkenaan.

Sementa juga mencadangkan kerajaan supaya memberikan insentif cukai kepada majikan yang menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak supaya mereka boleh menawarkan peralihan yang lebih baik kepada ibu-ibu yang baharu kembali semula bekerja.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, Sementa tetap menyokong cadangan kerajaan untuk melaksanakan cuti bersalin selama 90 hari.- MalaysiaGazette