Khazanah Nasional
Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR – Hasil penjualan ekuiti syarikat-syarikat awam oleh syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLiC) seperti seperti Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak disalurkan terus kepada akaun kerajaan.

Sebaliknya, bayaran yang diterima oleh kerajaan daripada GLiCĀ  adalah dalam bentuk dividen tahunan dan cukai sahaja.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md JidinĀ  berkata, pelupusan aset-aset oleh GLiC bukan perkara baharu.

Khazanah contohnya melupuskan ekuitinya setiap tahun, termasuk ketika di bawah pentadbiran kerajaan dahulu.

Jelasnya, penjualan ekuiti dipertimbangkan sebaik sahaja sesuatu pelaburan telah mencapai sasaran kewangan dan strategik yang telah ditetapkan.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong yang meminta kementerian tersebut menyatakan pecahan jumlah aset negara yang telah dijual termasuk IHH Healthcare Berhad, Sapura Upstream, CIMB Group Holdings Berhad, Acibadem Sigort, Boustead Plantation.

Ka Siong juga bertanya dimanakah hasil penjualan aset negara tersebut sehingga menyebabkan hutang negara tidak pernah turun pada paras yang sepatutnya.

Pelupusan sesuatu aset juga bergantung kepada masa dan kekuatan pasaran serta ketersediaan, kualiti dan kredibiliti pembeli.

“Sepanjang tahun 2009 sehingga April 2018, Khazanah telah melupuskan aset sebanyak 84 kali dengan nilai berjumlah RM46.16 bilion.

“Manakala, di antara bulan Mei 2018 sehingga Jun 2019 sebanyak 22 kali pelupusan telah dibuat dengan hasil pelupusan nilai RM18.76 bilion,” katanya.

Mohd Radzi menambah, hasil penjualan aset-aset di bawah Khazanah atau GLiC bagi tempoh Mei 2018 hingga Jun 2019 digunakan oleh entiti-entiti itu bagi tujuan membuat pelaburan baharu atau membayar balik hutang syarikat. – MalaysiaGazette