Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Hari Membasmi Kemiskinan Antarabangsa di Mercu UEM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- “Mereka boleh cuba,” demikian jawapan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai dakwaan wujud kempen untuk membentuk kerajaan tanpa penyertaan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketika ditanya apakah perkara tersebut pernah dibincangkan semasa pertemuannya dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini, beliau menjawab: “Tiada.”

Idea kerajaan tanpa penyertaan DAP dan Amanah itu didakwa diterajui oleh Hishammuddin yang merupakan Ahli Parlimen Sembrong dan juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussien.

Semalam, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan mendesak Hishammuddin supaya menghentikan kempen tersebut.

Katanya, Majlis Setiausaha PH berpegang teguh kepada muafakat PH yang dipersetujui parti kompenan PH dan kekal bersatu dalam kerajaan yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah dalam Kabinet.

Kenyataan itu ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Amanah Datuk Anuar Tahir dan Setiausaha DAP Anthony Loke Siew Fook.  -MalaysiaGazette