Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR – Protes Wong Yan Ke adalah bukti jelas bahawa masih ada kaum Cina di negara ini yang dangkal mengenai kedudukan orang Melayu di Malaysia serta fungsi dan peranan universiti-universiti dalam memperbaiki dan menambah baik masyarakat dan negara.

Profesor Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Prof. Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, beliau tidak nampak wujud kenyataan silap oleh Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu (KMM), Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling yang didakwa boleh menimbulkan rasa rasis ketegangan kaum.

Kenyataan Zainal didakwa menjadi punca protes oleh Yan Ke semasa majlis konvokesyen UM.

Malah, Dr Ahmad Murad menegaskan, pembabitan empat universiti dalam KMM itu adalah wajar kerana semua universiti ada peranan dan tanggungjawab untuk mengkaji perkara yang berkaitan dengan isu-isu kenegaraan dan dalam kongres tersebut ia bukan membabitkan parti tetapi negara dan masyarakat.

Dalam perihal KMM, ia membuat usul tentang kestabilan kaum yang dapat dicapai dengan memberi penekanan terhadap dasar-dasar yang diwujudkan.

“Tidak ada elemen rasis dalam KMM.

“Sebaliknya, isu perkauman hanya kedengaran pada orang Cina dan Melayu yang daif tentang negara bangsa,” katanya yang turut kesal dengan tindakan Yan Ke kerana tidak menghormati adat-istiadat majlis konvokesyen.

Dr Ahmad Murad berkata, kedangkalan orang Cina yang tinggal di barat Semenanjung ini menyebabkan sentimen-sentimen perkauman dijadikan isu secara berterusan.

“Sebenarnya mereka dangkal, tidak tahu tentang sejarah tanah air kepulauan Melayu yang sebenarnya telah wujud kira-kira 3,000 tahun lalu dan bukannya bermula sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957. Salah tu,” katanya.

Menurut beliau, sejarah dunia Melayu terdiri empat lapisan iaitu yang pertama Dunia Melayu Inti, Dunia Berbahasa Melayu, Dunia Rumpun Melayu dan Dunia Melayu Polinesia.

Tanah Melayu bukan sahaja di Malaysia tetapi sehingga ke Luzon. Bahkan Orang Asli Taiwan adalah orang Melayu.

Dan, penghuni dunia Melayu terdiri daripada pelbagai agama.

Jelasnya, ternyata protes yang dilakukan oleh graduan Universiti Malaya dan sokongan yang diterimanya daripada individu atau parti politik yang menyokongnya adalah satu tindakan yang naif.

Lantaran itu, Dr Ahmad Murad kata, masyarakat Cina dan Yan Ke perlu ‘disekolahkan’ mengenai sejarah tanah air Melayu supaya golongan-golongan yang fobia mengenai Tanah Melayu ini tidak lagi memiliki tingkah laku yang tidak normal sehingga menyebabkan mereka seperti bukan rakyat Malaysia dan gagal menghormati perlembagaan.

Dalam pada itu mengulas tindakan UM yang menahan ijazah Yan Ke, Ahmad Murad berkata, universiti itu berhak berbuat demikian kerana ia bidang kuasanya jika mendapati para penuntutnya berkelakuan tidak senonoh, melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Dia protes Naib Canselor, negara bangsa dan tidak berintegriti. Jadi, UM berhak menahan ijazahnya, bukan menggagalkan dia kerana dia sudah lulus,” ujarnya yang selari dengan kenyataan Majlis Profesor Negara semalam. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sokong 100%..kenapa bila bangsa melayu berckp mengenai untung nasib & asal usul bangsanya..di cop rasis?..takkan bangsa melayu hendak mengharapkan bangsa lain utk membela bangsa melayu?..pernahkah kita mendengar perhimpunan bangsa cina, berckp mengenai nasib melayu?..pernahkah kita mendengar bangsa india berhimpun dan berckp mengenai bangsa melayu?..protege DAP ni mmg perlu “disekolahkan”..terlalu biadap!

Comments are closed.