Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kemalangan pada 11.15 malam itu melibatkan sebuah lori jenis Isuzu, kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero, Perodua Myvi dan Axia, Honda Accord serta dua buah treler.

KUANTAN – Seorang guru lelaki menjadi mangsa penipuan tunggakan kad kredit menyebabkannya kerugian RM8,080 hanya dalam tempoh dua jam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Yusof berkata, mangsa yang berusia 30 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menyamar sebagai petugas Mahkamah Melaka sekitar 10 pagi semalam ketika berada di Bandar Indera Mahkota, di sini.

“Mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan bayaran kad kredit sebanyak RM18,000 yang bagaimanapun dinafikan oleh mangsa sebelum talian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

“Ketika berurusan dengan ASP Teoh, mangsa telah menyerahkan maklumat akaun banknya termasuk nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian seperti yang diminta, kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas beberapa minit, mangsa juga telah memberikan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) sebanyak dua kali kepada suspek.

Kemudian, katanya, pada kira-kira pukul 12 tengah hari semalam mangsa telah memeriksa akaun banknya dan mendapati terdapat pemindahan wang sebanyak RM8,080 daripada akaunnya ke dalam akaun individu yang tidak dikenali.

Susulan itu, mangsa terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama