Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

KUANTAN – Mayat seorang lelaki ditemui terapung di bahagian tepi Tasik Paya Bungor di km 50 Jalan Kuantan-Maran, di sini awal hari ini dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa ditemui orang awam yang melaporkan penemuan itu di Pondok Polis Paya Bungor pada kira-kira jam 9.55 pagi.

“Mangsa dipercayai berbangsa India dengan anggaran usia 39 tahun. Mayat lengkap berpakaian baju t-shirt berwarna merah dan seluar jeans hitam; manakala jarak tempat mayat terapung dengan jalan utama adalah kira-kira 10 meter,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan bedah siasat akan dilakukan pada esok pukul 2 petang di Unit Patalogi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA), di sini.

“Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan kes berkenaan,” katanya. – Bernama