MUNICH – Bayern Munich mengesahkan pemain pertahanan Niklas Sule mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada bahagian lutut sebelah kiri beliau.

Kecederaan itu berlaku ketika aksi Bundesliga menentang Augsburg selepas Bayern terikat 2-2 dalam perlawanan tersebut.

Sebelum insiden itu, Sule, 24, cuba melakukan cabaran ke atas Florian Niederlechner namun selepas itu dia kelihatan meraung kesakitan.

Doktor pasukan terus melakukan pemeriksaan dan penilaian ke atas kecederaan Sule sebelum terus dikeluarkan serta-merta daripada perlawanan oleh pengurus, Niko Kovac.

Pemain kebangsaan Jerman itu akan menjalani pembedahan pada hujung minggu ini.

Kenyataan rasmi Bayern akan dilakukan pada Ahad ini selepas penilaian terus dibuat dari semasa ke semasa ke atas pemain berusia 24 tahun itu.

Sule telah menjadi pemain penting Munich sepanjang musim ini gara-gara memiliki pertahanan kental dengan gaya permainan klasik.

Selain daripada kemampuan bertahan yang tinggi, Sule juga mempunyai kualiti untuk menghantar bola yang tepat.

Kehilangan Sule pastinya memberikan impak kepada sistem permainan Munich. – MalaysiaGazette