Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyifatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berpandangan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad menghabiskan penggal hingga Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lain hanya cuba “menjilat” Perdana Menteri.

Kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seolah-olah cuba untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri walaupun isu ini sebenarnya sudah selesai dan pimpinan keempat-empat parti telah maklum akan peralihan kuasa ini.

Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin berkata, Azmin dilihat semakin tidak senang duduk dengan keadaan terkini apatah lagi ketika peralihan kuasa semakin hampir.

“Akan ada kenyataan dari beliau dan ‘orang-orangnya’ untuk menentang peralihan kuasa sedangkan pimpinan keempat-empat parti tidak mempunyai isu untuk menangguh mahupun menentang peralihan kuasa sama ada dari PPBM, Amanah, DAP dan PKR.

“Azmin juga menyatakan “mereka yang berhasrat untuk mengambil-alih sebelum berakhirnya penggal kerajaan sekarang harus dirujuk sebagai ‘kerajaan pintu belakang’ .”

“Saya merasakan beliau perlu ‘cermin diri’ dan imbas kembali bagaimana beliau menjadi Menteri Besar Selangor dan mengulangi perkara sama kepada Menteri Besar Selangor hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Razeef mendakwa Azmin menjadi Menteri Besar Selangor walau individu lain yang telah dipersetujui, begitu juga apabila pemimpin keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan menandatangani persetujuan untuk mengangkat individu lain sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Azmin.

Namun dengan ‘pengalaman pintu belakang’ beliau berjaya menjadikan ‘orangnya’ sebagai Menteri Besar Selangor hari ini, tambahnya.

“Ini bukanlah kali pertama saya menegur Azmin supaya menghormati konsensus Pakatan Harapan. Saya pernah mengeluarkan kenyataan bertajuk “Pakatan Rakyat Telah Berkubur, Azmin Perlu Sedar” pada 6 Julai 2017 selepas Azmin enggan mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan di Selangor dan masih ingin meneruskan kerjasama dengan Pas yang telah mengkhianati Pakatan Rakyat pada masa itu. Begitu juga Zuraida Kamarudin yang menolak pembentukan Pakatan Harapan,” katanya.

Namun hari ini, kata Razeef, Azmin menjadi menteri kanan dalam kerajaan yang beliau tentang penubuhannya dulu.

Ketika pimpinan lain berusaha menubuhkan Pakatan Harapan di peringkat negeri dan kawasan, beliau sibuk berkempen bersama Pas dan masih menolak Dr Mahathir sebelum PRU-14.

Tetapi, hari ini beliau merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah kerajaan Pakatan Harapan dan menteri pengiring kepada Perdana Menteri.

Tindakan beliau jelas seolah-olah mengajak pimpinan lain untuk menjadi ‘munafik’ seperti beliau dengan melanggar konsensus Pakatan Harapan yang telah dipersetujui.

Menurut Razeef, umum mengetahui persetujuan mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia telah termaktub dalam Perjanjian Muafakat Pakatan Harapan yang dipersetujui keempat-empat parti pada 6 Januari 2018 dan diumum semasa Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018.

Dr Mahathir juga pernah menyatakan dengan jelas bahawa beliau akan menyerahkan jawatan kepada Anwar dalam tempoh dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Tambahnya, negara amat memerlukan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 bagi melaksanakan agenda reformasi seterusnya membina semula negara.

“Adakah Azmin cuba menjadikan Negarawan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang Munafik? Adakah Azmin ingat Tun Dr.Mahathir akan mengikut kata-katanya dan merosakkan legasi gemilang Tun M yang Tun M cuba bina semula selepas berjaya menumbangkan kerajaan Kleptokrat Barisan Nasional hanya untuk memenuhi keinginan peribadi beliau?

“Saya ingin menasihatkan Azmin agar menjalankan tugas beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi selagi beliau masih memegang jawatan berkenaan ketika ekonomi negara masih terumbang ambing. Berhenti menjadi Menteri Pengiring kepada Perdana Menteri dan cuba menjadikan Pakatan Harapan sebuah kerajaan yang tidak menepati janji,” katanya. – MalaysiaGazette

Biarlah Tun M kekal PM dalam tempoh penggal ini – Azmin