Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada penghujahan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan kes SRC International Sdn Bhd yang diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berpendapat Datuk Seri Najib Tun Razak sedia maklum tentang transkasi yang masuk ke dalam akuan peribadinya.

Malah Tommy yang meneruskan hujahnya di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada sebelah petang terus melontarkan persoalan berkaitan transaksi berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akuan Ambank milik bekas Perdana Menteri itu.

Pasukan pembelaan bagaimanapun mendakwa transaksi tersebut dilakukan oleh pihak lain termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Najib tidak tahu tentang perkara itu.

Tommy mempersoalkan bagaimana Najib ‘berjaya’ mengeluarkan hampir 100 cek sedangkan beliau tidak mengetahui baki dalam akuan banknya itu.

“Tolonglah, tertuduh perlu jelaskan kepada kita bagaimanakah seseorang dengan gaji tidak sampai RM1 juta setahun boleh ada pemindahan sebanyak RM42 juta ke dalam akuan peribadinya.

“Dalam banyak-banyak cek yang telah dikeluarkan oleh tertuduh dari Ambank, tidak ada satu yang telah di tendang juga. Ini amat luar biasa bagi seseorang yang mendakwa tidak tahu apakah yang telah berlaku kepada akuan banknya.

“Nampaknya ‘Santa Krismas’ telah mengkreditkan wang sebanyak RM42 juta ke dalam akuan. Juga tertuduh telah membelanjakan begitu banyak cek tanpa langsung mempersoalkan bank itu, juga tidak menyaman, pasukan pembela perlu jawab,” katanya.

Tommy turut mempersoalkan hujah pihak pembelaan mengenai keperluan untuk Najib mengaku menerima RM42 juta dalam afidavit saman fitnah yang difailkan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik sebelum ini.

Jelas Tommy, Najib sepatutnya merujuk kembali kepada Ambank dan memberitahu bank tersebut terdapat dana sebanyak itu yang tersalah masuk ke dalam akuan banknya.

Sebelum ini, saksi ke-55, Ranjit Singh yang mewakili Liong Sik pada perbicaraan SRC International membuat pendedahan tentang pengakuan Najib dalam afidavit balasannya pada Februari 2016.

Terdahulu, ketika memulakan penghujahan, Tommy memberitahu hakim tentang pertuduhan Seksyen 23 Akta SPRM yang dikenakan ke atas Najib kerana menyalahgunakan kuasa untuk memperoleh suapan sebanyak RM42 juta.

Jelas Tommy, Najib sepatutnya mengisytiharkan tentang kepentingan peribadi dan mengundurkan diri daripada mesyuarat Kabinet yang jelas menjadikan SRC International dalam agenda mesyuarat.

Bagaimanapun kata Tommy, Najib tidak berbuat demikian sambil menambah bekas Perdana Menteri itu adalah penasihat emeritus kepada SRC International.

Jelas Tommy, bekas Perdana Menteri itu mempunyai kuasa dan peranan penting bagi setiap transaksi daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.

Malah katanya, apabila SRC International tidak mampu membayar pinjaman, Najib telah bertindak meluluskan dua pinjaman dengan masing-masing berjumlah RM250 juta dan RM300 juta tanpa kelulusan daripada kerajaan.

Sesi penghujahan akan bersambung esok jam 9 pagi. –MalaysiaGazette