Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada penghujahan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan ketika prosiding hujahan kes SRC International yang membabitkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta hari ini mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebenarnya hanya sekadar ‘berdrama’.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram berkata demikian ketika berhujah tentang dakwaan Najib bahawa dirinya terkejut dengan pemindahan wang sebanyak RM42 juta ke dalam akuan peribadinya sebelum ini.

Hujah Sithambaram, dakwaan ‘terkejut’ oleh Najib itu hanya drama kerana seandainya beliau benar-benar merasakan demikian sudah tentu laporan polis telah dibuat olehnya pada masa itu.

Malah kata Sithambaram, Najib pastinya juga telah menyaman bank terbabit kerana melakukan deposit yang menyalahi undang-undang.

“Dakwaan oleh Najib kononnya tidak tahu tentang hanky panky yang berlaku dalam SRC tetapi bukti nyata yang ditunjukan membuktikan perkara yang sebaliknya.

“Sebanyak RM32 juta pernah dipindahkan ke Ihsan Perdana dari akaun Najib sebelum ini pada tahun 2014. Malah Najib juga telah menandatangani dokumen bagi pindahan itu.

“Jadi tidak masuk akal mengatakan bahawa tertuduh tidak tahu tentang dana ini,” katanya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Dakwa Sithambaram Najib seperti ‘takut-takut’ untuk melaporkan situasi itu kepada pihak berkuasa sejurus selepas diberitahu Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia, Ung Su Ling tentang kemasukan dana itu ke akauannya.

Shamsul merupakan saksi ke-37 manakala Su Ling adalah saksi ke-49 perbicaraan SRC International awal April lepas.

Dalam pada itu, Sithambaram juga berhujah mengatakan adalah ‘keterlaluan’ untuk mendakwa Najib tidak tahu menahu tentang baki dalam akaunnya.

Sebaliknya kata Sithambaram, pastinya Najib tahu ada ‘seseorang’ yang menjaga akaun peribadinya itu.

Dakwa Sithabaram, log perbualan dalam Blackberry Messenger membuktikan dana dalam akuan itu telah digunakan untuk pelbagai tujuan sambil menegaskan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebenarnya tidak ‘memperoleh’ apa-apa dengan mendepositkan dana ke dalam tiga akaun Najib.

“Wang yang sedia ada itu digunakan apabila diperlukan, seseorang juga bersedia sentiasa untuk mendepositkan dana ke akaun-akuan peribadi itu. Jadi jangan cakap Najib tidak tahu,” tegasnya.

Hujahan oleh pendakwaan sedang berlangsung ketika ini. –MalaysiaGazette