Marzuki Yahya

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak agar kepimpinan DAP mengeluarkan kenyataan berhubung kata-kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya, DAP sebagai salah satu parti gabungan Pakatan Harapan (PH) perlu segera menyatakan pendirian mereka berhubung tindakan merendah-rendahkan Bersatu yang dijangka akan membawa kesan buruk kepada gabungan itu.

“Saya nak sarankan kepada pimpinan DAP supaya dapat mengeluarkan kenyataan balas tentang pendirian ahlinya kerana ini bukan membabitkan pendirian pimpinan. Ini lebih kepada pendapat peribadi.

“Saya nak ingatkan kepada Ronnie Liu sebagai sebuah parti yang berada dalam kerajaan sepatutnya beliau bertanya kepada diri sendiri mengenai kedudukan beliau tanpa Bersatu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Marzuki ditanya mengenai pendapat Bersatu mengenai kata-kata Ronnie dalam tulisannya yang bertajuk Mahathir: The paper tiger mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan parti yang diterajuinya iaitu Bersatu.

Beliau berkata, DAP, PKR, Amanah, Warisan dan UPKO yang secara keseluruhannya mempunyai 113 kerusi parlimen cukup untuk membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Dalam pada itu, Marzuki berkata tindakan Ronnie itu dilihat tidak bijak dan tidak perlu sama sekali.

“Saya rasa ini adalah kenyataan kurang bijak dan saya harap pimpinan DAP dapat tangani dengan baik,” katanya lagi. -MalaysiaGazette