Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berucap pada Majlis Pelancaran Kesatuan Pelajar UIAM di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 OKTOBER 2019.

GOMBAK – Kementerian Pendidikan tidak akan masuk campur dalam proses mediasi di antara Universiti Malaya dan graduan kejuruteraan awamnya, Wong Yan Ke.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ini kerana pihaknya menghormati kuasa autonomi yang dimiliki universiti tersebut.

Beliau menjelaskan ia selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa universiti boleh mengendalikan isu secara sendiri.

“Kita menghormati autonomi universiti dan ini telah dinyatakan oleh Perdana Menteri bahawa universiti boleh mengendalikan isu seperti ini dan tidak perlulah campur tangan daripada kerajaan.

“Saya pun telah mmberitahu kepada timbalan saya (Teo Nie Ching) bahawa
bahawa kita tidak akan terlibat.

“Proses mediasi hanya kalau kedua-dua pihak bersetuju. Jadi buat sementara ini, kita menyerahkan kepada UM sebab kita percaya kepada autonomi dan kita tak mahu campur tangan politik.

“Kita biar mereka menguruskannya dengan sendiri dan kedua-dua sudah dapat ijazah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di UIAM di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini proses mediasi antara UM dan Yan Ke yang pernah dimaklum oleh Nie Ching sebelum ini.

Sebelum ini, Nie Ching berkata, bagi menyelesaikan isu antara UM dan Yan Ke, iaitu penuntut yang menunjukkan tanda protes pada sidang istiadat konvokesyen universiti berkenaan secara aman, kedua-dua pihak harus mengadakan rundingan.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga sedang dalam proses untuk mengadakan rundingan antara kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu terbabit. – MalaysiaGazette