Anthony Loke

KUALA LUMPUR – DAP akan merujuk Ronnie Liu ke jawatankuasa disiplin parti berhubung kenyataan yang didakwa mempersoalkan kesepakatan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek itu tidak wajar dan bukan mencerminkan pendirian parti.

“Kenyataan daripada Ronnie Liu ini dilihat daripada kepimpinan DAP sebagai tindakan sabotaj. Satu tindakan yang sangat serius.

“Dan saya sebagai Setiausaha Organisasi (DAP) Kebangsaan akan merujuk beliau kepada jawatankuasa disiplin parti,” katanya dipetik dari Roketkini hari ini.

Menurut Anthony, kesepakatan PH tidak wajar dipersoal oleh mana-mana pemimpin DAP mahupun PH sendiri.

“Pakatan Harapan ditubuhkan oleh empat parti iaitu Bersatu, PKR, Amanah dan DAP dan kita memenangi PRU-14 melalui platform Pakatan Harapan.

“Ini mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tidak ada sesiapa pemimpin dalam Pakatan Harapan termasuk daripada DAP yang boleh mempersoalkan (kesepakatan) Pakatan Harapan ini. – MalaysiaGazette