Bersatu
Ulya Aqamah Husamuddin

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP , Ronnie Liu diberi amaran supaya jangan menjolok sarang tebuan apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Pakatan Harapan tetap akan berjaya tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Ulya Aqamah Husamudin menyifatkan kenyataan tersebut sebagai angkuh dan cukup tidak bertanggungjawab.

“Mahu atau tidak mahu, Pakatan Harapan dengan konsensus telah memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PH dan juga Perdana Menteri.

“Kita telah berjuang bersama sebelum ini dan hasilnya telah berjaya memenangi PRU yang lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Liu yang merupakan Adun Sungai Pelek dipetik sebagai berkata, ketika PH sedang mengetengahkan agenda pelbagai kaum, Dr Mahathir pula mengejar model parti dominan Melayu ala Barisan Nasional.

Liu memberi contoh tindakan Dr Mahathir menerima bekas pemimpin UMNO dalam Bersatu, selain mempersoalkan berhubung ketiadaan tarikh jelas peralihan kuasa perdana menteri.

Ulya turut mengingatkan Ronnie supaya menghentikan politik murahan dan menumpukan kepada tugasan.

Katanya, segala keputusan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri telah dibuat secara konsesus dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Maka konsep tanggungjawab bersama terpakai dan kesemua menteri dari Bersatu, PKR, Amanah dan juga DAP bertanggungjawab atas semua dasar dan arah tuju negara.

“Perlu diingatkan juga yang pengalaman Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan DS Mukhriz Mahathir dan beberapa ahli Bersatu lain yang pernah memegang tampuk pimpinan negara diperlukan bagi memacu pentadbiran negara yang baru.

“Sebaiknya YB fokus menjadi ADUN, jangan jolok sarang tebuan. Sesungguhnya Ahli ARMADA Bersatu tidak akan teragak-agak mempertahankan parti keramat ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Ronnie dicabar kemuka usul keluarkan PPBM dari PH

 

1 Komen

Comments are closed.