Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bilangan kelahiran hidup yang dicatatkan pada 2018 adalah 501,945, menurun 1.3 peratus berbanding 508,685 pada 2017.

Kadar kelahiran kasar (CBR) mencatatkan penurunan daripada 15.9 (2017) kepada 15.5 (2018) bagi setiap 1,000 penduduk.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada 501,945 bayi yang dilahirkan pada 2018, 259,582 (51.7%) adalah bayi lelaki.

CBR bagi kedua-dua jantina menurun daripada 15.9 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2017 kepada 15.5 pada 2018.

Menurutnya, semua negeri merekodkan penurunan CBR pada 2018 berbanding 2017, kecuali Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing kekal pada 16.2 dan 13.6 bagi setiap 1,000 penduduk.

Pulau Pinang terus merekodkan kadar terendah pada 11.7 bagi setiap 1,000 penduduk dan Putrajaya mencatatkan kadar tertinggi dengan 24.7.

Daerah pentadbiran Kuala Terengganu merekodkan CBR tertinggi pada 2018 dengan 30.5 bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Marang, Terengganu (25.8) dan Besut, Terengganu (24.7).

Manakala Bagan Datuk, Perak mencatatkan CBR terendah dengan 2.9 bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Kinabatangan, Sabah (3.8) dan Putatan, Sabah (6.7).

Menurut beliau, kadar kesuburan jumlah (TFR) menurun sejak tiga dekad yang lalu

Kadar kesuburan jumlah bagi wanita berumur 15-49 tahun mencatatkan penurunan daripada 4.9 bayi pada 1970 kepada 1.8 bayi pada 2018.

Sejak 2013, TFR negara telah direkodkan di bawah paras penggantian 2.1 yang menunjukkan bahawa purata bilangan bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh kesuburannya tidak mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya.

Manakala bilangan kematian yang direkodkan pada 2018 adalah 172,031, meningkat 2.3 peratus berbanding 168,168 pada 2017.

Kadar kematian kasar (CDR) kekal pada 5.3 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2017 dan 2018.

Putrajaya dan Melaka mencatatkan penurunan CDR pada 2018 berbanding 2017, sementara itu, tujuh negeri mencatatkan peningkatan dan negeri selainnya tidak berubah.

Perlis mencatatkan CDR tertinggi iaitu 8.1 bagi setiap 1,000 penduduk manakala Putrajaya mencatatkan kadar terendah iaitu 2.2 pada 2018. – MalaysiaGazette