Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bercakap pada sidang media mengenai cadangan pembangunan semula Kampung Baru di Menara DBKL, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2109

KUALA LUMPUR- Kerajaan mahu para pemilik tanah Kampung Baru tetap mempunyai pegangan dalam projek pembangunan kawasan tersebut meskipun tanahnya telah terjual.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, penawaran saham sebanyak 15 peratus dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang bakal ditubuhkan kelak kepada para pemilik membolehkan pemilik tanah memberikan cadangan kepada projek pembangunan tersebut di samping memastikan syarat rizab Melayunya tidak hilang.

Mereka juga boleh memastikan cadangan pembinaan Taman Warisan akan tetap diteruskan.

Pemilik-pemilik tanah juga bakal menerima dividen daripada keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat mengikut nilai peratusan saham masing-masing.

“Segala khabar angin, tohmahan yang mengatakan saya hendak halau orang Melayu keluar dari Kuala Lumpur, orang Kampung Bharu akan dihalau keluar adalah tidak benar.

“Kita mahu mereka datang balik (kerana) mereka ada saham.

“Hampir 15 peratus (daripada nilai tanah tersebut) adalah masih milik mereka,” katanya semasa sidang media khas di sini hari ini.

Tambah Khalid,  pemberian diskaun sebanyak 15 peratus bagi pembelian hartanah di Kampung Bharu kepada para pemilik-tanah pula adalah untuk menggalakkan mereka kekal di kawasan tersebut.

Khalid hari ini mengumumkan  tawaran terakhir kepada pemilik tanah di Kampung Baru sebanyak RM1,000 bagi setiap kaki persegi (kps) yang mana daripada jumlah RM1,000 itu, RM850/kps akan dibayar melalui empat pilihan iaitu tunai, hartanah, kombinasi aset dan hartanah serta pegangan saham.

Para pemilik tanah bebas memilih mana-mana pilihan pembayaran tersebut, tambahnya.

Manakala baki RM150/kps pula akan dibayar melalui pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Sebagai tambahan, bagi pemilik tanah yang memilih untuk membeli hartanah dalam projek pembangunan di Kampung Baru kelak, kerajaan akan memberikan diskaun sebanyak 15 peratus.- MalaysiaGazette

 

RM1,000 sekaki persegi tawaran terakhir buat penduduk Kampung Baru

1 Komen

Comments are closed.