nasrudin hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – DAP disifatkan seperti ‘serigala’ yang menunggu peluang untuk menyergap mangsanya.

Lantaran itu, adalah tidak wajar DAP dipertahankan oleh parti-parti bersekutu dengannya.

Selain itu, DAP boleh dianggap sebagai parti “spoiler” kerana sering mengganggu ketenteraman politik di negara ini, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

Beliau mendakwa, parti itu tidak boleh duduk diam dan menghormati pihak lain, sebaliknya suka mencabul perjanjian dan mengkhianati kepercayaan.

“Pas pernah mengalaminya dan faham serta tahu benar sikap DAP. Pengalaman semasa bersama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat sudah jelas dan cukup untuk memahami siapa DAP.

“Kini DAP buat perangai dalam Pakatan Harapan. Memang DAP parti spoiler. Mana-mana parti yang bersama dengan DAP tidak akan boleh duduk aman dan tenteram. Satu ketika, mereka akan jadi mangsa kerakusan DAP,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nasrudin berkata, DAP kini semakin angkuh dengan kuasa yang dinikmati dan mula tunjuk besar kepala serta mendominasi dalam Pakatan Harapan.

Sehubungan itu, Nasruddin menasihatkan supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan mana-mana pemimpin Islam dalam PH supaya segera insaf dan sedar tentang sikap DAP itu.

“Tidak ‘balik modal” untuk terus mempertahankan DAP, sedang DAP tidak pernah mempedulikan parti-parti kecil dalam PH meskipun parti itu berhempas pulas mahu membuktikan bahawa mereka setia dan sedia berkhidmat serta sanggup menjadi galang mempertahankan DAP.

“Percayalah, DAP tidak akan pernah berterima kasih jauh sekali mengenang budi. Justeru, ia adalah sebuah parti ‘serigala’ yang hanya menunggu peluang untuk menyergap mangsa.” ujarnya.

Dalam pada itu, Nasruddin menaruh keyakinan dan mengajak semua umat Islam khasnya untuk turut sama meyakini bahawa negara ini boleh berjaya dan dibangunkan tanpa adanya DAP. – MalaysiaGazette