CHENGDU – Seorang terbunuh manakala tiga orang mengalami cedera parah dan 63 lagi cedera dalam gempa bumi berskala 5.4 Richter yang menggegarkan wilayah Sichuan di barat daya China pada pukul 6 waktu tempatan, kata pihak berkuasa tempatan.
Gempa bumi itu menggegarkan mukim Weiyuan di Neijiang pada pukul 6.42 petang telah menjejaskan 63 perbandaran, menurut biro pengurusan kecemasan Neijiang, lapor Xinhua Net.
Bilangan penduduk tempatan yang terjejas meningkat kepada 10,883 orang dengan 2,417 orang dipindahkan. Sejumlah 132 kediaman runtuh dengan 161 rumah rosak teruk dan 4,880 lagi mengalami kerosakan kecil, kata biro tersebut.
Lebih 100 anggota polis dikerahkan ke kawasan yang dilanda gempa bumi untuk kerja mencari dan menyelamat. – Agensi