Foto hiasan

SEREMBAN – Seorang penolong pegawai penyiasat trafik cedera dilanggar sebuah kereta ketika menjalankan siasatan di lokasi kemalangan di KM273.3 berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, DSP Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, kejadian berlaku ketika anggota itu, Kamarolzaman Isha, 51, yang juga Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Sektor 4 Lebuhraya Utara Selatan, baharu sahaja tiba di tempat kejadian.

Beliau berkata, Kamarolzaman menerima laporan pada 6.30 pagi berhubung kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu kereta Proton Iswara yang dipandu di lorong tengah telah gagal dikawal dan melanggar belakang sebuah kereta Volkswagen lalu terbabas di lorong kanan sebelum dirempuh tiga kenderaan lain.

Pemandu Proton Iswara cedera ringan manakala penumpangnya maut di tempat kejadian.

“Ketika anggota (Kamarolzaman) tiba di lokasi kejadian dan meletakkan kenderaan polis jenis Proton Saga di lorong kecemasan iaitu lorong kiri, anggota itu telah keluar untuk membuat siasatan di tempat kejadian.

“Tiba-tiba sebuah kereta Toyota Corolla yang dipandu seorang lelaki di lorong paling kanan, telah hilang kawalan, bergesel dengan sebuah lori dari lorong tengah sebelum terbabas ke lorong kiri dan melanggar anggota trafik dan kenderaan polis di lorong itu,“ katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Akibat perlanggaran itu, anggota trafik itu tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan di bahagian kepala serta beberapa anggota badan.

Sementara itu, seorang maut manakala seorang cedera dalam satu lagi kemalangan di KM 274.4, kira-kira 1 kilometer dari KM273.3.

Katanya kemalangan pada 7.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila seorang lelaki berusia 35 tahun yang memandu kereta Jaguar telah gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar deretan kenderaan yang bergerak perlahan.

“Sebanyak empat kereta lain turut terlibat dalam perlanggaran ini. Seorang daripada pemandu kereta jenis Perodua Axia iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpangnya seorang perempuan berusia 40 tahun mengalami cedera parah dan sedang dirawat di Zon Merah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS),” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast