Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengekalan taraf kredit berdaulat Malaysia adalah jawapan terbaik terhadap dakwaan bahawa kerajaan tidak mengurus ekonomi negara dengan baik atau telah meningkatkan hutang kerajaan secara berlebihan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ekonomi negara terus menunjukkan daya tahan yang tinggi.

Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi bulan Ogos 2019 telah meningkat 1.9% tahun-ke-tahun, iaitu lebih tinggi daripada peningkatan 1.2% pada bulan Julai, disumbangkan oleh pengembangan sektor pembuatan yang mampan serta pemulihan output bagi sektor perlombongan.

Manakala kadar inflasi bagi bulan September 2019 pula berada pada paras 1.1% – inflasi yang rendah dan stabil adalah kondusif bagi pengembangan penggunaan swasta.

Nilai jualan perdagangan borong dan runcit naik 5.8% tahun-ke-tahun dalam bulan Ogos 2019, iaitu lebih tinggi daripada kenaikan 5.7% dalam bulan Julai 2019 manakala kadar pengangguran untuk bulan Ogos 2019 pula adalah rendah dan stabil pada 3.3%.

“Kerajaan komited melaksanakan pembaharuan institusi, sambil membantu menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Hasil pelaksanaan pembaharuan institusi dan pertumbuhan ekonomi mampan akan terus mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia tinggi pada A3 atau A-,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas beliau, dalam menentukan taraf kredit berdaulat, agensi penarafan kredit antarabangsa mengambil kira pelbagai faktor termasuk keadaan fiskal, keadaan ekonomi dan kualiti institusi sesebuah negara.

Agensi penarafan kredit antarabangsa menggunakan kedua-dua Indeks Menjalankan Perniagaan dan Penunjuk Tadbir Urus 2018 (WGI) terbitan Bank Dunia untuk menentukan kualiti institusi, dan oleh itu taraf kredit berdaulat.

Malaysia berjaya meningkatkan kedudukannya dalam Indeks Menjalankan Perniagaan kepada tempat ke-12 untuk tahun 2020 daripada tempat ke-15 untuk tahun 2019.

“Markah Malaysia untuk tahun 2020 telah meningkat 0.2 mata dan membolehkan negara menaiki 3 anak tangga kepada tempat ke-12 untuk tahun 2020 daripada tempat ke-15 untuk tahun 2019,” ujarnya.

Malaysia juga menduduki tempat ke-4 di Asia selepas Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan sebagai negara yang paling mudah untuk menjalankan perniagaan.

Dalam WGI terbaharu, Malaysia telah menyaksikan kenaikan terbesar, hasil daripada pembaharuan institusi yang meluas yang dilaksanakan oleh kerajaan.

WGI mengukur kualiti institusi di 214 negara dengan mengambil kira 6 dimensi iaitu akauntabiliti, kestabilan politik, keberkesanan kerajaan, kualiti peraturan, kedaulatan undang-undang dan korupsi.

Katanya, markah Malaysia dalam 5 daripada 6 dimensi tersebut telah menunjukkan peningkatan. – MalaysiaGazette