Azhar Azizan Harun.

KUALA LUMPUR – Semua bakal calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai digesa supaya membuat semakan awal pengisian borang pencalonan sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semakan awal pengisian borang pencalonan boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Daerah Pontian atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor di Johor Bahru sebelum hari penamaan calon.

Katanya, langkah itu bertujuan supaya semua bakal calon dapat mengisi borang dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan.

“Ini bertujuan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan pengisian borang semasa hari penamaan calon.

“Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon pada hari penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Malah, ia juga dapat memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk mencari calon yang layak dan membuat persiapan sewajarnya sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada pegawai pengurus semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian antara jam 9 pagi hingga 10 pagi pada Sabtu.

Selain itu, bakal-bakal calon juga turut diingatkan untuk membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.

Bakal-bakal calon juga adalah diminta untuk mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki Pusat Penamaan Calon.

Ini bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada Hari Penamaan Calon kelak, ujarnya.

PRK Tanjung Piai dijangka berhadapan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan.

PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, daripada Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham Dr. Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan penyandang dari BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon Pas , Nordin Othman. – MalaysiaGazette