Sebahagian penduduk bekerjasama mengangkat air yang telah ditadah dari paip bekalan air sementara yang disediakan oleh Bekalan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Khamis ini, sebanyak 120 kawasan di Gombak dan 57 kawasan di Kuala Lumpur melibatkan 119,630 akaun pelanggan berdaftar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan mengalami gangguan bekalan air.

Gangguan air sementara itu dijangka selama 23 jam.

Ia berikutan pelaksanaan kerja kecemasan penggantian injap sluis di kawasan Kolam Air Kepong Estate yang mengalami kebocoran serius, menurut kenyataan Air Selangor hari ini.

“Sehubungan itu, Air Selangor mengeluarkan notis makluman ini agar pelanggan dapat membuat persediaan menghadapi gangguan bekalan air sementara untuk tempoh 23 jam ekoran pelaksanaan kerja penggantian injap bermula 9 malam, Khamis (31 Okt),” kata Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad.

Bekalan akan dibuka sejurus kerja pembaikan siap dan disasarkan pulih sepenuhnya pada 8 malam pada 1 November (Jumaat).

Abdul Raof berkata penggantian injap itu kritikal dan perlu dilaksana segera.

Pelanggan terlibat dinasihatkan menyimpan bekalan air bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan dan Air Selangor akan menggerakkan bantuan lori tangki air dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan.

Pelanggan boleh menghantar pesanan bagi kes kecemasan dan kritikal melalui aplikasi WhatsApp ke 019-281 6793 atau 019-280 0919.

Pusat Perhubungan Pelanggan Air Selangor boleh dihubungi di talian 15300 dan maklumat serta status terkini boleh didapati di laman www.airselangor.com.- MalaysiaGazette