Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menolak tawaran Kerajaan Negeri Perlis yang menawarkan jawatan Exco kepada parti itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas yang kini bekerjasama dengan UMNO hanya mahu terus menyokong semua polisi yang diperkenalkan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Jawatan (Exco) semua penuh, Perlis tawarkan sebab kekosongan. Kita tak terima cadangan tersebut tapi akan bersama kerajaan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Tuan Ibrahim ditanya mengenai cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membuka pintu kepada wakil UMNO dalam kerajaan negeri pimpinan Pas seperti Kelantan dan Terengganu.

Hadi berkata demikan pada sidang media sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), September lalu.

“Tengok perkembangan selanjut. Memang ada rancangan… itu (hal) dalam keluarga kami (PAS dan UMNO),” kata Hadi.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut berkata, tiada ruang bagi pemimpin UMNO mengisi jawatan Exco di Kelantan dan Terengganu kerana kuotanya sudah mencukupi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menjelaskan hanya pelantikan bagi agensi-agensi di bawah kerajaan negeri yang boleh diberikan kepada mana-mana pemimpin UMNO.

“Hingga setakat ini, dari segi kerajaan, mereka tidak masuk secara terus tapi mereka terlibat dalam beberapa agensi bawah kerajaan negeri.

“Buat masa ini penglibatan mereka sangat baik,” katanya.l lagi. -MalaysiaGazette