Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong (kiri) bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kanan) ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang bukti setakat ini yang boleh mengaitkan serangan siber menjadi punca kegagalan rangkaian Total Airport Management Systems (TAMS), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Peringkat Kementerian bagi menyiasat insiden itu mendapati, ia disebabkan oleh kegagalan Rangkaian Suis Teras untuk berfungsi dan ketidakupayaan bagi memisahkan rangkaian suis teras itu.

Suis teras itu digunakan sejak KLIA mula beroperasi pada 1998 dan tidak diganti.

“Suis teras adalah suis utama yang menghubungkan kesemua rangkaian sistem di KLIA. Bagaimanapun, polis juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur khianat atau sabotaj.

“Setakat ini, pihak polis belum mendakwa mana-mana individu berkenaan kes gangguan yang berlaku Ogos lepas. Itu maksudnya belum ada sesiapa yang dibabitkan (implicate) dalam kes ini,” katanya pada sesi jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Latiff Ahmad (PH-Mersing) mengenai status siasatan pihak polis dalam gangguan rangkaian operasi di KLIA.

Pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) masih menyiasat jumlah kerugian yang ditanggung ekoran kejadian itu termasuk kerugian yang didakwa oleh syarikat-syarikat penerbangan, katanya.

Loke berkata, pihaknya akan memantau pelaksanaan langkah-langkah yang dicadangkan jawatankuasa berkenaan bagi mencegah insiden sama berulang pada masa hadapan.

Pada 28 Ogos lepas, Kementerian Pengangkutan menubuhkan jawatankuasa untuk menentukan hal keadaan dan punca sebenar kegagalan rangkaian TAMS di KLIA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast